Sebanyak lima belas resolusi untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi  pendidikan telah diputuskan oleh seramai 240 peserta yang menghadiri  Seminar Merekayasa Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)  peringkat kebangsaan yang berakhir pada hari Selasa, 13 September 2011.
Seminar tersebut telah berlangsung selama tiga bermula Ahad (11  September) di sebuah hotel di Klang dihadiri oleh kakitangan Kementerian  Pelajaran Malaysia (KPM) dan kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan  Integrasi Nasional seluruh Negara (JPIN).
Seminar itu turut membincangkan tiga kertas kerja iaitu Strategi  Perpaduan Negara oleh JPIN;  Program Integrasi: Teori dan Pelaksanaan  oleh Universiti Putra Malaysia; dan Pelaksanaan Program RIMUP  oleh KPM.  
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong semasa berucap  menutup seminar tersebut menjelaskan bahawa “sekolah merupakan salah  sebuah institusi yang mampu menjadi agen berkesan kea rah menyatupadukan  murid-murid pelbagai kaum di negara ini.
“Sekolah juga memainkan peranan yang penting dan berkesan dengan  meletakkan agenda integrasi dan perpaduan sebagai agen paling utama ke  arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman dan sejahtera.”
Perpaduan merupakan agenda yang amat penting dan menurut Dr Wee lagi,  “perlu disemai pada peringkat awal lagi,” dan “perpaduan merupakan  faktor penting dalam memacu kemajuan sesebuah negara, tanpa mengira  bangsa, agama dan kebudayaan.”
RIMUP telah pun mula dilaksanakan oleh KPM di peringkat sekolah pada  tahun 1986, dan usaha menilai semula keberkesanan yang diadakan menerusi  seminar tiga hari itu berjaya memberikan fokus baru sejajar dengan  perkembangan semasa termasuk kesepadanan dengan gagasan 1 Malaysia. 
Sebelum itu, perpaduan turut dijadikan teras utama dalam Pelan Induk  Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2000-2006 “Membina Negara Bangsa” dan  terus diperkemaskan menerusi    Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Seramai 240 orang guru, wakil PIBG dan JPNIN  yang menghadiri seminar  tersebut telah merumuskan bahawa RIMUP perlu diperkemas dan  ditambahbaikkan pelaksanaannya bagi membolehkan perpaduan wujud dalam  masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya, agama  dan wilayah.
Resolusi tersebut ialah:
1. Bagi menggalakkan lagi penyertaan masyarakat setempat, para guru dan  murid serta warga sekolah dalam program RIMUP, organisasi PIBG perlu  menubuhkan biro RIMUP dalam struktur organisasinya supaya penglibatan  PIBG dapat ditingkatkan lagi bagi menyokong aktiviti yang dilaksanakan  oleh pihak sekolah. Selain itu, pihak sekolah perlu mengadakan pelbagai  promosi proram RIMUP dan kempen kesedaran supaya masyarakat setempat  dapat mengetahui dan turut serta. Lokasi aktiviti RIMUP yang  dilaksanakan perlu menggunakan lokasi umum seperti balai raya, dewan  serbaguna, padang awam dan seumpamanya bagi tujuan memudahkan pihak  masyarakat setempat turut serta; 
2. Sekolah-sekolah swasta perlu dilibatkan sama dalam semua aktiviti  RIMUP dan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberikan  penekanan kepada sekolah-sekolah ini dalam usaha mewujudkan integrasi  nasional dalam pelbagai kaum di semua jenis sekolah. Aktiviti RIMUP juga  perlu dilaksanakan sepanjang tahun secara berterusan;
3. Pihak pentadbiran sekolah perlu memberikan kerjasama dalam  perkongsian kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran bagi memastikan  semua aktiviti RIMUP yang dilaksanakan secara bersama mencapai  matlamatnya. Senarai kemudahan, peralatan dan kepakaran setiap sekolah  perlu disediakan dan dikongsi dengan sekolah yang terlibat. Penggunaan  kemudahan, peralatan dan kepakaran secara kolektif akan dapat menjamin  kejayaan aktiviti yang dilaksanakan. Selain itu, penggunaan prasarana  daripada pihak luar seperti agensi swasta dan kerajaan juga perlu  diusahakan supaya tanggung jawab sosial dapat disalurkan untuk  kepentingan perpaduan nasional;
4. Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan RIMUP daripada aspek domain  akademik dapat menyumbang kepada integrasi nasional. Oleh itu, pihak  sekolah perlu meningkatkan lagi aktiviti yang berkaitan dengan akademik  seperti bimbing akademik, program motivasi, seminar menjawab soalan  peperiksaan dan sebagainya. Program mentor-mentee yang melibatkan guru  dan murid daripada pelbagai kaum dapat mengeratkan lagi perpaduan  nasional disamping boleh membantu meningkatkan kecemerlangan akademik  murid;
5. Pihak sekolah perlu menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti  daripada pelbagai kaum dalam program kecemerlangan akademik yang  dianjurkan melalui kerjasama PIBG. Kehadiran ahli masyarakat ini secara  langsung sebagai jawatan kuasa dan pelaksana program akan dapat  memberikan sokongan moral, bimbingan dan nasihat kepada murid;
6. Aktiviti program RIMUP perlu memanfaatkan penggunaan ICT dengan  optimum dalam usaha melibatkan murid pelbagai kaum untuk berinteraksi  melalui laman web sekolah, laman web sosial dan penggunaan khidmat  pesanan ringkas (sms) serta penggunaan emel. Selain itu, integrasi kaum  juga dapat dipupuk melalui pertandingan yang dianjurkan seperti  pertandingan rekacipta yang berunsurkan budaya pelbagai kaum (rekacipta  tanglung, wau, kaligrafi, khat dan sebagainya);
7. Penglibatan ahli masyarakat pelbagai kaum terutamanya ibu bapa dalam  aktiviti kokurikulum dapat meningkatkan peluang untuk berinteraksi  antara satu sama lain. Mereka boleh dilibatkan dalam aktiviti  perkhemahan, pameran dan permainan yang berunsurkan kebudayaan pelbagai  kaum. Pihak sekolah perlu memainkan peranan dalam usaha melibatkan ahli  masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam aktiviti  kokurikulum;
8. Aktiviti sukan dan permainan tradisional kaum Cina dan India perlu  diperkenalkan dengan lebih banyak supaya kaum lain dapat berkongsi dan  mengenali budaya kaum tersebut. Masyarakat setempat juga perlu dilibat  dengan lebih banyak dalam pelaksanaan aktiviti tersebut. Selain itu,  sekolah juga perlu mengadakan jaringan kerjasama dengan persatuan sukan  dan kebudayaan daripada pelbagai kaum dalam usaha menambahkan lagi jenis  dan kepelbagaian sukan dan permainan tradisional pelbagai kaum.  Guru-guru sekolah juga perlu diberikan pendedahan dalam bidang sukan dan  permainan tradisional pelbagai kaum ini;
9. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai  patriotisme, pihak sekolah perlu mengadakan pelbagai program yang  menjurus kepada penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Kelab Rukun  Negara perlu ditubuh dan diaktifkan bagi mengendalikan pelbagai program  berkaitan aktiviti patriotik seperti Bulan Kemerdekaan dan majlis  membaca ikrar. Lagu-lagu patriotik didapati tidak popular dalam kalangan  murid sekolah.  Oleh itu, satu usaha bagi memperkenal dan mempopularkan  lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid sekolah pelbagai kaum perlu  dimulakan, contohnya dalam perhimpunan rasmi sekolah setiap minggu;
10. Murid sekolah juga didapati kurang mengenali dan menghayati  lambang-lambang negara seperti bendera dan jata negara. Oleh itu,  lambang negara perlu diletakkan pada tanda nama, tali leher dan  sebagainya. Sekolah juga, melalui aktiviti RIMUP ini perlu menggalakkan  murid memiliki dan mengibarkan Jalur Gemilang, mengadakan pertandingan  fotografi dan melukis sempena bulan kemerdekaan. Aktiviti yang  memfokuskan kepada pengenalan tokoh-tokoh dan pemimpin negara daripada  pelbagai kaum serta mengetahui tempat-tempat bersejarah negara perlu  diutamakan dalam aktiviti RIMUP; 
11. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menambahkan peruntukan  kepada program RIMUP  supaya peruntukan mencukupi untuk membiayai kos  pengendalian program RIMUP diperingkat sekolah. Dicadangkan supaya  peruntukan RIMUP mengikut enrolmen murid (seperti PCG mata pelajaran).  Selain itu, pihak sekolah perlu berusaha bagi menambahkan sumber  pembiayaan aktiviti RIMUP melalui bantuan daripada agensi luar  (kerajaan, NGO dan swasta). Peruntukan untuk pembiayaan kos pengendalian  aktiviti RIMUP juga perlu diturunkan pada waktu yang bersesuai supaya  aktiviti dapat dilaksanakan sepanjang tahun;  
12. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu membina laman web khusus RIMUP  dibawah pautan laman web KPM bagi tujuan memudahkan warga sekolah dan  masyarakat memperoleh maklumat mengenai RIMUP. Laman web tersebut juga  akan memuatnaikkan aktiviti-aktiviti RIMUP yang telah dilaksanakan oleh  sekolah-sekolah di seluruh negara. Maklumat dalam bentuk klip video dan  fotograf akan dapat dijadikan panduan kepada sekolah-sekolah lain bagi  melaksanakan aktiviti dengan lebih baik lagi; 
13. Aktiviti RIMUP perlu memberi penekanan tinggi dalam aspek tokoh  perjuangan, pemimpin negara, sumbangan kemerdekaan, sumbangan perpaduan  dan karya patriotik oleh pelbagai kaum. Sekolah perlu menambah buku-buku  dan maklumat berkenaan di Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan galakan tabiat  membaca buku berkenaan. Maklumat tersebut juga boleh dicapai daripada  laman web;
14. Aspek kenegaraan perlu ditekankan dalam aktiviti kurikulum (P&P)  yang merentasi semua mata pelajaran supaya murid murid-murid dapat  mengamalkan prinsip Rukun Negara, rasa cintakan negara dan mengamalkan  semangat perpaduan antara kaum; dan
15. Aktiviti khidmat masyarakat perlu diperluaskan demi meningkatkan  modal integrasi masyarakat prihatin yang amat penting dalam perpaduan  dan pembentukan masyarakat madani. Walau pun aktiviti ini melibatkan kos  per murid yang lebih tinggi daripada aktiviti lain, tetapi pulangannya  adalah besar.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran  turut menggesa agar peruntukan yang mencukupi perlu disediakan oleh  kerajaan bagi menentukan agenda utama negara dapat dilaksanakan secara  berkesan manakala pihak sekolah seharusnya boleh memikirkan cara-cara  terbaik melaksanakannya dengan komuniti setempat menerusi kerjasama  pelbagai pihak.
Dalam majlis yang sama, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul  Ghafar Mahmud berkata, program RIMUP terbukti “mendatangkan kesan yang  positif kepada murid-murid dari segi menghayati dan mengamalkan semangat  perpaduan.
“Sehubungan dengan itu, KPM sememangnya berhasrat menerus dan  diperkukuhkan. Sekolah juga merupakan agen sosialisasi terancang dan  berfokus untuk membentuk personaliti terpuji dan toleransi kendiri yang  tinggi untuk bergaul mesra antara satu sama lain, dalam pembentukan  masyarakat majmuk setempat yang berkualiti,” jelas KPPM lagi. 
Teks ucapan alu-aluan KPPM itu telah dibaca oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. 
Menurut Datuk Abdul Ghafar satu model baru program RIMUP akan dibentuk  dengan mengambilkira beberapa input baru termasuk dapatan kajian yang  dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dan resolusi-resolusi yang  dikemukakan akan diperhalusi untuk membolehkan pelaksanaannya  benar-benar mencapai objektifnya.(AKH)

No comments:
Post a Comment